Asar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

4.30 pm:
tiang-tiang putih berdiri tegak. Seolah menongkat kubah biru agung di atasnya. Bila dilihat dari bawah tiang-tiang itu tersusun keatas dan kelihatan sangat menarik sekali. Angin tasik di sebelahan membantu kagumku dengan mendesir menyusur celahan ruang-ruang kakilima dan lubang udara dinding. Lantai mosaic bagai baru basahan hujan: kilat dan sejuk kaki menyentuh. Masjid Biru: di sebuah sudut terpencil mu lah aku memilih berlabuh, bersunyi-sunyi  dan mencuba berzikir menyembah Tuhan Pencipta.dalam keadaan khuyuk dan tenang





SMS kepada Encik Hosni Mubarak.



Salam. maaf kerana mengganggu tuan dalam keadaan tuan sedang biru menghadapi stress rakyat. alangkah baiknya kalau tuan mengambil langkah bijak sekali dalam hidup tuan untuk terima sahaja kenyataan bahawa zaman kekuasaan tak terbatas yang tuan selewengkan dari amanah Allah telah berakhir?Utk makluman tuan, barangkali saat-saat kehinaan yang malang bagi tuan ini adalah bekas doa para mujahid dan pejuang Allah yang syahid dalam penjara tuan, yang hilang dari pangkuan keluarga, dari rintihan rakyat palestin yang tuan pura-pura tidak dengar? balasan bagi setan yang bersekongkol dengan regim haram israel dan amerika adalah kelaknatan, dan tuan memang seorang petualang!

s.k- Ghadaffi, Ben Ali, Ali Saleh dan Raja Saud si Pengkhianat

Perang Yang Di Lupakan





Sesuatu yang aku secara diam-diam pelajari selama 11 hari di Seoul, tidak ramai orang Korea Selatan yang ghairah ingin bercerita tentang perang. Lebih-lebih lagi yang melibatkan peperangan dengan saudara sedarah mereka di utara. Mereka lebih senang bercerita tentang hal-hal lain, tetapi tidak perkara taboo itu. Sangat melukakan, seperti kata seorang pemandu teksi biru ketika membawa kami ke Dong-Daemun Market.

Begitu la sialan baruah dungunya kuasa-kuasa besar yang empat, tidak bacul kalau aku namakan: Amerika, Rusia (dulu USSR), Jepun dan China. Seorang profesor penceramah Korea memberitahu kami, nasib orang Korea adalah terletak pada hujung-hujung jari kuasa-kuasa besar tersebut: mencorakkan apa saja yang ingin mereka tentukan. Kerakusan ego politik menutup ruang bijaksana, menyempitkan belas ehsan dan menidakkan jaksa pendamaian. Apalah kesalahan rakyat biasa Korea yang negaranya terpaksa di bahagibelah dua, dikerah-pisah dengan saudara mara, dan di paksa untuk membenci antara satu sama lain?

Kematian Seekor Burung : Kematian Kita




Semenjak projek pembangunan kapitalis TAAT (tah apa-apa tah) dan perogolan hutan belukar berlaku berhampiran dengan kediaman kami, banyak perkara baru dan aneh telah direkodkan:

Kehadiran seekor ular kelabu setinggi anak kecil yang tegak menyambut dalam kamar mandi pada satu pagi ahad.
Seekor haiwan Sus scrofa (bahasa saintifik kepada babi hutan) bersaiz perdana berlari laju diatas jalanraya pada satu senja melintasi kenderaan ku.
Seekora anak ular hijau sesat di rumah lantas maut di geromoli oleh Berry, kucing kami.
Sekawanan kera mula menunjukkan kewujudannya di kebun belakang dan selang beberapa hari kemudian, rumah kami dirampok oleh "si tempang", chief kera yang menyisip masuk melalui jerigi jendela.
Kehadiran bunyi-bunyi haiwan asing yang tidak dapat dipastikan apa jenisnya.
Pesta 'gegar' dan 'Latihan Gempa Bumi" yang terpaksa kami biasakan akibat letupan dinamit pemecahan bongkah batu di bukit atas sana.
Kematian aneh seekor burung pada suatu pagi yang dikenalpasti sebagai species jarangtemu murai tanah; di hadapan pintu rumah.

Nampaknya perang telah bermula dan sedihnya ia berlaku di depan kawasan pagar kediaman kami. Celakalah para kapitalis, pemaju penghisap darah, perestu rasuah dan seangkatan sekongkolannya.

Kisah-kisah kecil


banjir

dan kemudian
hanya sebuah album tua
tersandar di atap
wajah-wajah tanpa nama
meratib
meratap

(Latiff Mohidin, Antologi Puisi Sg Mekong; DBP 1981)

enjoy the silence


aah, pengurusan kehidupan kita selalunya tak sama seperti yang kita rancang..banyak perkara yang berlaku di luar dugaan kita, dan lebih banyak lagi perkara yang kita duga tidak berlaku seperti yang kita rancang. misalannya; aku mengatur untuk menyusunjadual kekerapan menulis blog ini, pada setiap hujung minggu atau pada setiap waktu terluang yang aku dapati, secara curi-curi atau secara sengaja aku dalam kelapangan. tapi kalian lihat lah, 3 bulan aku menipu janji jadual, menganggurkan diri dari menulis lantas hasilnya blog yang lumpuh dan keluhan teman-teman yang bertanya, kenapa berhenti menulis?

diam itu emas tapi masa yang lapang adalah sangat-sangat berharga, teman. kita terima saja lah hakikat ini.

Danau Toba - syurga dunia atau malapetaka teragung







Terpegun dengan pemandangan yang tergambar di mata kami, tiada siapa pun antara kami yang bersuara di kedinginan segar awal pagi itu ketika bot mula bergerak dari Prapat menuju Tomok di Pulau Samosir, sebuah pulau di tengah Tasik Toba, Sumatera.
Berasaskan penyesalan pada kunjungan yang pertama beberapa tahun sebelum itu, kunjungan kedua ku ini dilengkapi dengan segala apa yang perlu di bawa: camera digital, Personal Digital Assistant (PDA) dan terpenting research yang dibuat di internet tentang Tasek Toba (atau Danau Toba menggunakan bahasa di sini).
Cuba bayangkan ini: gunung-gunung dan bukitan hijau yang memuncak tinggi, langit biru yang melatar dengan awan putih lembut bertompok sana sini, air tasik yang jernih mulus tenang, matahari yang masih berselindung di balik gunung dan sinarannya yang berkaca di wajah tasik serta tiupan angin dingin yang berhembus, telah cukup melengkapi mana-mana syarat sebuah keindahan alam yang termampu seorang pelukis karyakan.

Keindahan yang kami saksikan itu menjadi remedi menghilangkan kepenatan semalaman menaiki bas selama 7 jam dari Bandar Medan menuju ke Prapat, sebuah pekan kecil di pesisir Tasik Toba. Kami mengambil langkah paling bijak dalam hidup kami dengan diam tanpa berkata sesama kami lalu menikmati keindahan yang kami rasa sangat rugi kalau kami terlepas pandang walaupun seinci apa yang telah dipaparkan Allah SWT di depan kami. Begitulah ter 'kaget'nya kami. Benarlah kata teman, janganlah bercerita tentang keindahan selagi belum menjejak kaki ke Tasik Toba.

Namun di sebalik tag 'Syurga Dunia' yang diberikan, Tasik Toba sebenarnya menyimpan sejarah ngeri malapetaka teragung dunia. Tasik ini sebenarnya tercipta hasil dari letusan gunung berapi yang dikenali sebagai Tora Event sekitar 70,000 tahun lalu. Terlalu besar letusan yang berlaku, ia menjadi letusan gunung berapi terbesar sejak 2 juta tahun terakhir. Para geologis menamakan letusan ini sebagai "perfect horror” kerana kekuatan dan ganasnya kemusnahan yang dialami dunia. Debu yang dizahirkan telah mengakibatkan seluruh dunia bergelapan dan timbunan debu setebal 9 meter telah turut melimpahi Malaysia. Bencana besar ini juga telah menyebabkan kepupusan kehidupan dunia dan seluruh dunia bergelap beberapa tahun kerana debu asid yang menutupi seluruh ruang bumi.

Terlalu hampir dengan kita, dipisahkan dari Semenanjung Malaysia oleh Selat Melaka yang sempit. Kerana masih ada gegaran aktif yang di rekodkan sekitar Pulau Sumatera, maka ada kah keupayaan Toba untuk mengamuk lagi? Tidak mampu terbayangkan, apakah itu dinamakan kiamat? Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.