Kisah-kisah kecil


banjir

dan kemudian
hanya sebuah album tua
tersandar di atap
wajah-wajah tanpa nama
meratib
meratap

(Latiff Mohidin, Antologi Puisi Sg Mekong; DBP 1981)

enjoy the silence


aah, pengurusan kehidupan kita selalunya tak sama seperti yang kita rancang..banyak perkara yang berlaku di luar dugaan kita, dan lebih banyak lagi perkara yang kita duga tidak berlaku seperti yang kita rancang. misalannya; aku mengatur untuk menyusunjadual kekerapan menulis blog ini, pada setiap hujung minggu atau pada setiap waktu terluang yang aku dapati, secara curi-curi atau secara sengaja aku dalam kelapangan. tapi kalian lihat lah, 3 bulan aku menipu janji jadual, menganggurkan diri dari menulis lantas hasilnya blog yang lumpuh dan keluhan teman-teman yang bertanya, kenapa berhenti menulis?

diam itu emas tapi masa yang lapang adalah sangat-sangat berharga, teman. kita terima saja lah hakikat ini.

Danau Toba - syurga dunia atau malapetaka teragung







Terpegun dengan pemandangan yang tergambar di mata kami, tiada siapa pun antara kami yang bersuara di kedinginan segar awal pagi itu ketika bot mula bergerak dari Prapat menuju Tomok di Pulau Samosir, sebuah pulau di tengah Tasik Toba, Sumatera.
Berasaskan penyesalan pada kunjungan yang pertama beberapa tahun sebelum itu, kunjungan kedua ku ini dilengkapi dengan segala apa yang perlu di bawa: camera digital, Personal Digital Assistant (PDA) dan terpenting research yang dibuat di internet tentang Tasek Toba (atau Danau Toba menggunakan bahasa di sini).
Cuba bayangkan ini: gunung-gunung dan bukitan hijau yang memuncak tinggi, langit biru yang melatar dengan awan putih lembut bertompok sana sini, air tasik yang jernih mulus tenang, matahari yang masih berselindung di balik gunung dan sinarannya yang berkaca di wajah tasik serta tiupan angin dingin yang berhembus, telah cukup melengkapi mana-mana syarat sebuah keindahan alam yang termampu seorang pelukis karyakan.

Keindahan yang kami saksikan itu menjadi remedi menghilangkan kepenatan semalaman menaiki bas selama 7 jam dari Bandar Medan menuju ke Prapat, sebuah pekan kecil di pesisir Tasik Toba. Kami mengambil langkah paling bijak dalam hidup kami dengan diam tanpa berkata sesama kami lalu menikmati keindahan yang kami rasa sangat rugi kalau kami terlepas pandang walaupun seinci apa yang telah dipaparkan Allah SWT di depan kami. Begitulah ter 'kaget'nya kami. Benarlah kata teman, janganlah bercerita tentang keindahan selagi belum menjejak kaki ke Tasik Toba.

Namun di sebalik tag 'Syurga Dunia' yang diberikan, Tasik Toba sebenarnya menyimpan sejarah ngeri malapetaka teragung dunia. Tasik ini sebenarnya tercipta hasil dari letusan gunung berapi yang dikenali sebagai Tora Event sekitar 70,000 tahun lalu. Terlalu besar letusan yang berlaku, ia menjadi letusan gunung berapi terbesar sejak 2 juta tahun terakhir. Para geologis menamakan letusan ini sebagai "perfect horror” kerana kekuatan dan ganasnya kemusnahan yang dialami dunia. Debu yang dizahirkan telah mengakibatkan seluruh dunia bergelapan dan timbunan debu setebal 9 meter telah turut melimpahi Malaysia. Bencana besar ini juga telah menyebabkan kepupusan kehidupan dunia dan seluruh dunia bergelap beberapa tahun kerana debu asid yang menutupi seluruh ruang bumi.

Terlalu hampir dengan kita, dipisahkan dari Semenanjung Malaysia oleh Selat Melaka yang sempit. Kerana masih ada gegaran aktif yang di rekodkan sekitar Pulau Sumatera, maka ada kah keupayaan Toba untuk mengamuk lagi? Tidak mampu terbayangkan, apakah itu dinamakan kiamat? Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Tahun Baru 2010, kita semakin tua dan mendekati noktah kita.


Setiap kali sambutan tahun baru kalendar Gregorian sebegini aku menjadi risau. Aku tidak mahu menjadi hipokrit dengan menyetujui cara orang lain, menyusun plan ini dan perancangan itu dan kemudian pada akhir tahun menilai semula segala plan perancangan tersebut; berjaya atau lintangpukang. Tidak, bukan itu yang aku kuatirkan.

Aku sebenarnya risau, teruk tahap mana sambutan yang akan buat oleh revellers pada malam menjelang akhir tahun: berapa banyak botol arak yang akan di konsum oleh peminumnya? Berapa banyak anak gadis yang akan hilang kesuciannya malam nanti? Berapa iblis dan syaitannya para remaja malam ini? Berapa banyak sampah samaada yang biodegrable atau yang toksid akan disampahkan? Berapa banyak kemalangan yang akan berlaku di jalanraya? Berapa berjayanya pihak kapitalis dan korporat menunggang dan mengkeldaikan orang ramai?

Ah, sepatutnya bukan itu juga yang patut aku risau dan memeningkan kepala. Zach,sebenarnya malam tahun baru benar-benar menakutkan aku: bahawa kita semakin tua, lusuh dan kita semakin mendekati noktah hidup kita. Itu yang paling aku risaukan. Fullstop.

Selamat Tahun Baru 2010...

Lanskap Minda #3




Tidak seperti biasa, sebaik sahaja kembali ke rumah malam itu aku pun duduk bersandar di tiang luar rumah dan kepala ku mengadah ke langit. Melihat bintang-bintang dan bulan; jauh lebih dari itu ke dasar angkasa yang luas dan sayup.

Ya, sistem solar yang mana matahari menjadi pusat serta lapan planet utama termasuk bumi yang meng-orbitnya. Sejak 4.6 billion tahun sistem ini telah berfungsi dangan baik tanpa sebarang cacat dan kerusakan. Semua planet, tak terkecuali matahari meng-orbit dan berpusing mengelilingi mengikut garis jalur yang tertentu, sekali sekala melintasi garisan orbit antara satu sama lain tanpa pernah berlaku sekali pun pelanggaran atau penggeseran. Seolah-olah seperti sebuah enjin yang mega besar. Aku tak mampu mencari satu misalan dari segala apa di dunia ini, baik mesin atau sebarang ciptaan manusia yang boleh berfungsi dengan begitu sempurna berjuta tahun tanpa berlaku sebarang kerosakan.

Tiga persoalan yang aku bawa tidur malam itu: Siapakah yang mencipta kesempurnaan sistem ini? Siapakah yang cukup berkuasa untuk memastikan sistem ini berjalan dengan betul dan baik? Siapakah yang menjamin keselamatan sistem ini sehingga sampai waktunya? Tepok dada dan tanyalah iman kita.

"Dan Dialah (Allah SWT) yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam GARIS EDARNYA.
(Surat Al-Anbiyak 21:33)

Madinah -Kota Suci Mekah-Jeddah 2007





Sayang sekali atau bagus sekali. Terpulang lah bagaimana engkau menafsir tentang pantasnya pembangunan di sekitar Kota Makkah. Pemerintah Kerajaan Arab Saudi yang Wahabi itu mungkin ada alasan sendiri untuk tidak mengekalkan kesan-kesan sejarah penting Islam apatahlagi yang melibatkan Manusia Teragung Rasulullah SAW sendiri. Demi untuk keselesaan tetamu Allah, barangkali. Disana-sini pembangunan segera memadamkan kesan sejarah. Hingga sukar bagiku untuk bermainmain khayalan menghidupkan di pentas minda apaapa yang tercatat dalam sejarah silam yang sangat besar kesannya ke atas peradaban dunia itu; ketika aku menyusuri kawasan Masjidil Haram serta lorong-lorong sempit di sekitarnya.

Satu hari Ahad yang panjang dan perlahan.......



Apakah yang lebih santai pada satu petang ahad yang malas di sepanjang hari hujan, ketika kita sendirian sambil mendengar putaran piring hitam lagu-lagu folk Leonald Cohen & Cat Steven, irama blues dari Moody Blues & B B King, Gesekan Biola Arwah Idris Sardi serta Koleksi Pop Burt Bacharach? Hidup terasa berjalan sangatsangat perlahan malah ada saatnya kita terasa sekalisekala detik waktu terhenti seketika. Hmmm zach, alangkah bagusnya kalau hujan turun sepanjang hayat kita; lalu perlahanlahan kita meladeni usia kita dengan cermat dan penuh teliti....