Tahun Baru 2010, kita semakin tua dan mendekati noktah kita.


Setiap kali sambutan tahun baru kalendar Gregorian sebegini aku menjadi risau. Aku tidak mahu menjadi hipokrit dengan menyetujui cara orang lain, menyusun plan ini dan perancangan itu dan kemudian pada akhir tahun menilai semula segala plan perancangan tersebut; berjaya atau lintangpukang. Tidak, bukan itu yang aku kuatirkan.

Aku sebenarnya risau, teruk tahap mana sambutan yang akan buat oleh revellers pada malam menjelang akhir tahun: berapa banyak botol arak yang akan di konsum oleh peminumnya? Berapa banyak anak gadis yang akan hilang kesuciannya malam nanti? Berapa iblis dan syaitannya para remaja malam ini? Berapa banyak sampah samaada yang biodegrable atau yang toksid akan disampahkan? Berapa banyak kemalangan yang akan berlaku di jalanraya? Berapa berjayanya pihak kapitalis dan korporat menunggang dan mengkeldaikan orang ramai?

Ah, sepatutnya bukan itu juga yang patut aku risau dan memeningkan kepala. Zach,sebenarnya malam tahun baru benar-benar menakutkan aku: bahawa kita semakin tua, lusuh dan kita semakin mendekati noktah hidup kita. Itu yang paling aku risaukan. Fullstop.

Selamat Tahun Baru 2010...

Lanskap Minda #3




Tidak seperti biasa, sebaik sahaja kembali ke rumah malam itu aku pun duduk bersandar di tiang luar rumah dan kepala ku mengadah ke langit. Melihat bintang-bintang dan bulan; jauh lebih dari itu ke dasar angkasa yang luas dan sayup.

Ya, sistem solar yang mana matahari menjadi pusat serta lapan planet utama termasuk bumi yang meng-orbitnya. Sejak 4.6 billion tahun sistem ini telah berfungsi dangan baik tanpa sebarang cacat dan kerusakan. Semua planet, tak terkecuali matahari meng-orbit dan berpusing mengelilingi mengikut garis jalur yang tertentu, sekali sekala melintasi garisan orbit antara satu sama lain tanpa pernah berlaku sekali pun pelanggaran atau penggeseran. Seolah-olah seperti sebuah enjin yang mega besar. Aku tak mampu mencari satu misalan dari segala apa di dunia ini, baik mesin atau sebarang ciptaan manusia yang boleh berfungsi dengan begitu sempurna berjuta tahun tanpa berlaku sebarang kerosakan.

Tiga persoalan yang aku bawa tidur malam itu: Siapakah yang mencipta kesempurnaan sistem ini? Siapakah yang cukup berkuasa untuk memastikan sistem ini berjalan dengan betul dan baik? Siapakah yang menjamin keselamatan sistem ini sehingga sampai waktunya? Tepok dada dan tanyalah iman kita.

"Dan Dialah (Allah SWT) yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar di dalam GARIS EDARNYA.
(Surat Al-Anbiyak 21:33)

Madinah -Kota Suci Mekah-Jeddah 2007





Sayang sekali atau bagus sekali. Terpulang lah bagaimana engkau menafsir tentang pantasnya pembangunan di sekitar Kota Makkah. Pemerintah Kerajaan Arab Saudi yang Wahabi itu mungkin ada alasan sendiri untuk tidak mengekalkan kesan-kesan sejarah penting Islam apatahlagi yang melibatkan Manusia Teragung Rasulullah SAW sendiri. Demi untuk keselesaan tetamu Allah, barangkali. Disana-sini pembangunan segera memadamkan kesan sejarah. Hingga sukar bagiku untuk bermainmain khayalan menghidupkan di pentas minda apaapa yang tercatat dalam sejarah silam yang sangat besar kesannya ke atas peradaban dunia itu; ketika aku menyusuri kawasan Masjidil Haram serta lorong-lorong sempit di sekitarnya.

Satu hari Ahad yang panjang dan perlahan.......



Apakah yang lebih santai pada satu petang ahad yang malas di sepanjang hari hujan, ketika kita sendirian sambil mendengar putaran piring hitam lagu-lagu folk Leonald Cohen & Cat Steven, irama blues dari Moody Blues & B B King, Gesekan Biola Arwah Idris Sardi serta Koleksi Pop Burt Bacharach? Hidup terasa berjalan sangatsangat perlahan malah ada saatnya kita terasa sekalisekala detik waktu terhenti seketika. Hmmm zach, alangkah bagusnya kalau hujan turun sepanjang hayat kita; lalu perlahanlahan kita meladeni usia kita dengan cermat dan penuh teliti....

Memerhatikan manusia Beijing....




Manusia di Beijing mengingatkan aku perihal kaum semut. Berderas ke sana dan berderas ke sini, mengayuh waktu seolah-olah esok adalah kiamat. Perhatikan ketika mereka tekun bekerja dan anda dapat rasakan andalah manusia lembab di celahan kumpulan mereka. Terasa sangat alien aku dalam keadaan aku diam, menikmati marlboro palsu, duduk sambil santai-santai di Tianamen Square, berhadapan Makam Peringatan Chairman Mao Tse Tung, sedangkan manusia Beijing yang mengarusi kirikanan ku bergerak dalam selaju mungkin; bertali arus dalam jumlah yang ramai. Ah! saudara, tidak adakah barang sebentar untuk kalian diam, relax dan menikmati hidup yang precious ini?

Kata para anarki 'Laws are made to be broken'


Ah, peraturan, undang-undang dan sistem, siapa yang tidak terlepas dari mematuhinya? Begitu sukar untuk memastikan peraturan diikuti sehingga terlalu banyak peringatan yang berulang-ulang dan terperinci (seperti gambar atas)perlu di buat. Tidak boleh kah manusia menggunakan akal murni nya untuk melakukan sesuatu perkara yang mudah (seperti urusan tandas) dengan penuh hemah?

lanskap minda #2




Petang yang stress ini bertukar menjadi lucu apabila mendapat e-mail dari seorang teman. Anda baca sendiri, fikirkan betapa malangnya pelajar tersebut dan terlebih malang lagi guru yang terpaksa melayan karangan tersebut.

Terhentinya perjalanan seorang seniman
















W S Rendra (1935 - 2009)

Pelacur-pelacur kota Jakarta
dari kelas tinggi dan kelas rendah
telah diganyang
telah diharu-biru
mereka kecut
keder
terhina dan tersipu-sipu

sesalkan mana yang mesti kau sesalkan
tapi jangan kau lewat putus asa
dan kau relakan dirimu dibikin korban

(sebahagian dari puisi W S Rendra "Bersatulah Pelacur-pelacur Kota Jakarta")

Menyaksikan pembacaan puisi W S Rendra buat pertama kali (dan satu-satunya) sewaktu kunjungan beliau ke Kuala Lumpur amat terkesan sehingga kini. Bacaan puisi beliau yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika aku masih remaja sekitar lewat tahun 80an sangat segar dan baru dibandingkan dengan persembahan-persembahan puisi yang aku tonton sebelum itu. Tanpa bantuan set atau props mahupun musik latar dan cahaya, pementasan bacaan sehingga 7-8 buah puisi beliau menarik minat penonton yang sebahagian besarnya terdiri dari penyair-penyair, penggiat teater dan seniman besar Malaysia sendiri. Dengan suaranya yang lantang (tanpa sebarang bantuan mikrofon), pergerakan badan dan kaki yang menarik, permainan wajah yang dramatik, sangat-sangat mengagumkan sehingga kami yang berdiri selama satu jam lebih terpukau dan tidak terasa letih dan jemu. Seolah-olah tidak puas dan hampa apabila beliau menamatkan puisi beliau yang terakhir untuk malam itu. Cukup dengan beliau sendiri secara solo di atas pentas telah berjaya memukau aku yang selepas saja persembahan beliau tanpa silu terus mendapatkan autograf beliau di atas antologi puisi "Sajak-sajak Sepatu Tua" yang aku beli lama sebelum itu.

Dan apabila aku mendapat berita kematian beliau pada 6 Ogos 2009 (ketika itu aku berada di Medan, Sumatera) persembahan puisi beliau yang itu kembali datang bermain dalam pentas fikiran ku. Alangkah sangat-sangat terasa kehilangan bagi dunia seni bukan saja di Indonesia tapi juga di Malaysia. Seniman yang di gelar 'Si Burung Merak' itu memang luarbiasa, bebas dan berani dalam karyanya dan telah memberi pengaruh besar kepada banyak pemuisi dan penggiat teater baru dikedua-dua negara. Dan pemergiannya sudah pasti akan meninggalkan ruang pentas kosong kepada kegiatan seni bukan saja kepada umum tetapi juga kepada diri ku yang semakin jauh terlepas dari keghairan dunia seni.

Kuala Lumpur semakin aku tak kenali

Ya benar, ketika kunjungan terakhir ke rumah pusaka nenek di Kg Baru, hati kami terasa sayu. Jelaslah bahawa pembangunan rakus bandaraya metropolitan semakin tidak tertahan lagi untuk disanggah oleh kawasan rumah pusaka nenek. Bangunan-bangunan 'skyscrapper' semakin mendekati pagar rumah nenek, bunyi-bunyi bising kerja piling semakin tidak berjadual, orang-orang asing yang tidak kenali semakin keluar masuk dan gelanggang komuniti kami semakin mengecil. Kami sedar bagaimana kerdilnya kami dibandingkan dengan pelan gergasi pembangunan golongan kapitalis rakus yang tidak pernah berhenti untuk mendahulukan keuntungan kewangan dari segala-gala yang lain. Maka benarlah kata seorang teman sosialis bahawa ubat mujarab bagi penyakit tamak kapitalis dan penyembahnya hanyalah maut.

George Bush yang tolol!





Telah berbilang negara yang aku lawati dan pelbagai insiden yang yang aku lalui sepanjang lawatan tapi tiada yang lebih menggusarkan dari semasa beradanya aku di Lapangan Terbang Jinnah, Karachi, Pakistan. Dengan tahap pemeriksaan keselamatannya peringkat melampau, kami terpaksa melalui laluan pemeriksaan dengan kasut, talipinggang, jam, stokin dibuka dan di jinjing melalui kaunter scan yang sempit. Ada setengah teman termasuk wanita yang di arahkan ke kamar khas dan diperiksa secara terperinci (!).


Aku menjangka perasaan aku akan aman apabila berada di luar terminal tetapi keadaan lebih menyeramkan di mana askar-askar dan polis berada di sana sini dan kami di pandang dengan mata yang "suspect". Diluar perkarangan bangunan terminal, dibariskan besi-besi penghalang yang runcing dan mengikut agen pengiring kami, besi-besi tersebut adalah sebagai penghalang kepada kenderaan-kenderaan 'pengebom berani mati' pembawa peledak TNT yang dikuatiri mungkin akan merempuh bangunan tersebebut. MasyaAllah, aku salahkan diri ku kerana ingin mengunjungi negara ini, tetapi ada seorang lagi yang aku salahkan: si George Bush yang tolol!. Kerana dialah dunia ini tidak selamat dimana-mana untuk dikunjungi.

Cambodia oh Cambodia








Hari ni aku teringatkan Kampuchea. Entah tiba tiba ketika menyusuri internet, terlintas untuk mengintai imej-imej hitam detik pemerintahan Khmer Rouge yang notorious itu. Walaupun sudah dua kali aku ke berkunjung ke sana tapi masih terasa keinginan luarbiasa untuk kembali melawat penjara penyeksaan S21 Toul Sleng, Choueng Ek Killing Field Museum dan Russian Market nya.

Askar merah Khmer Rouge yang kebanyakannya anak-anak muda zalim gila itu dengan Pol Pot sebagai pemimpin paramount nya, mendekri idea Komunis Maoist yang yang bercita-cita mewujudkan sistem negara totalitarian bertujuan merakyatkan negara. Ironinya, lebih 2 juta rakyat yang menjadi mangsa pembunuhan negara.

lanskap minda ku #1

setelah sekian lama tertangguh akhirnya bertemu juga ruang, waktu dan kesanggupan: untuk mencorakkan sebuah kanvas maya dengan luahan akal. aku nama kan hasil ini dengan "lanskap minda ku". mudahan segala apa yang tercorat-carit dalam kotak minda dapat ku curahkan dalam ruang yang tak terbatas ini. terserah lah untuk anda berkongsi.