Kuala Lumpur semakin aku tak kenali

Ya benar, ketika kunjungan terakhir ke rumah pusaka nenek di Kg Baru, hati kami terasa sayu. Jelaslah bahawa pembangunan rakus bandaraya metropolitan semakin tidak tertahan lagi untuk disanggah oleh kawasan rumah pusaka nenek. Bangunan-bangunan 'skyscrapper' semakin mendekati pagar rumah nenek, bunyi-bunyi bising kerja piling semakin tidak berjadual, orang-orang asing yang tidak kenali semakin keluar masuk dan gelanggang komuniti kami semakin mengecil. Kami sedar bagaimana kerdilnya kami dibandingkan dengan pelan gergasi pembangunan golongan kapitalis rakus yang tidak pernah berhenti untuk mendahulukan keuntungan kewangan dari segala-gala yang lain. Maka benarlah kata seorang teman sosialis bahawa ubat mujarab bagi penyakit tamak kapitalis dan penyembahnya hanyalah maut.