lanskap minda #2




Petang yang stress ini bertukar menjadi lucu apabila mendapat e-mail dari seorang teman. Anda baca sendiri, fikirkan betapa malangnya pelajar tersebut dan terlebih malang lagi guru yang terpaksa melayan karangan tersebut.

Terhentinya perjalanan seorang seniman
















W S Rendra (1935 - 2009)

Pelacur-pelacur kota Jakarta
dari kelas tinggi dan kelas rendah
telah diganyang
telah diharu-biru
mereka kecut
keder
terhina dan tersipu-sipu

sesalkan mana yang mesti kau sesalkan
tapi jangan kau lewat putus asa
dan kau relakan dirimu dibikin korban

(sebahagian dari puisi W S Rendra "Bersatulah Pelacur-pelacur Kota Jakarta")

Menyaksikan pembacaan puisi W S Rendra buat pertama kali (dan satu-satunya) sewaktu kunjungan beliau ke Kuala Lumpur amat terkesan sehingga kini. Bacaan puisi beliau yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika aku masih remaja sekitar lewat tahun 80an sangat segar dan baru dibandingkan dengan persembahan-persembahan puisi yang aku tonton sebelum itu. Tanpa bantuan set atau props mahupun musik latar dan cahaya, pementasan bacaan sehingga 7-8 buah puisi beliau menarik minat penonton yang sebahagian besarnya terdiri dari penyair-penyair, penggiat teater dan seniman besar Malaysia sendiri. Dengan suaranya yang lantang (tanpa sebarang bantuan mikrofon), pergerakan badan dan kaki yang menarik, permainan wajah yang dramatik, sangat-sangat mengagumkan sehingga kami yang berdiri selama satu jam lebih terpukau dan tidak terasa letih dan jemu. Seolah-olah tidak puas dan hampa apabila beliau menamatkan puisi beliau yang terakhir untuk malam itu. Cukup dengan beliau sendiri secara solo di atas pentas telah berjaya memukau aku yang selepas saja persembahan beliau tanpa silu terus mendapatkan autograf beliau di atas antologi puisi "Sajak-sajak Sepatu Tua" yang aku beli lama sebelum itu.

Dan apabila aku mendapat berita kematian beliau pada 6 Ogos 2009 (ketika itu aku berada di Medan, Sumatera) persembahan puisi beliau yang itu kembali datang bermain dalam pentas fikiran ku. Alangkah sangat-sangat terasa kehilangan bagi dunia seni bukan saja di Indonesia tapi juga di Malaysia. Seniman yang di gelar 'Si Burung Merak' itu memang luarbiasa, bebas dan berani dalam karyanya dan telah memberi pengaruh besar kepada banyak pemuisi dan penggiat teater baru dikedua-dua negara. Dan pemergiannya sudah pasti akan meninggalkan ruang pentas kosong kepada kegiatan seni bukan saja kepada umum tetapi juga kepada diri ku yang semakin jauh terlepas dari keghairan dunia seni.