Danau Toba - syurga dunia atau malapetaka teragung







Terpegun dengan pemandangan yang tergambar di mata kami, tiada siapa pun antara kami yang bersuara di kedinginan segar awal pagi itu ketika bot mula bergerak dari Prapat menuju Tomok di Pulau Samosir, sebuah pulau di tengah Tasik Toba, Sumatera.
Berasaskan penyesalan pada kunjungan yang pertama beberapa tahun sebelum itu, kunjungan kedua ku ini dilengkapi dengan segala apa yang perlu di bawa: camera digital, Personal Digital Assistant (PDA) dan terpenting research yang dibuat di internet tentang Tasek Toba (atau Danau Toba menggunakan bahasa di sini).
Cuba bayangkan ini: gunung-gunung dan bukitan hijau yang memuncak tinggi, langit biru yang melatar dengan awan putih lembut bertompok sana sini, air tasik yang jernih mulus tenang, matahari yang masih berselindung di balik gunung dan sinarannya yang berkaca di wajah tasik serta tiupan angin dingin yang berhembus, telah cukup melengkapi mana-mana syarat sebuah keindahan alam yang termampu seorang pelukis karyakan.

Keindahan yang kami saksikan itu menjadi remedi menghilangkan kepenatan semalaman menaiki bas selama 7 jam dari Bandar Medan menuju ke Prapat, sebuah pekan kecil di pesisir Tasik Toba. Kami mengambil langkah paling bijak dalam hidup kami dengan diam tanpa berkata sesama kami lalu menikmati keindahan yang kami rasa sangat rugi kalau kami terlepas pandang walaupun seinci apa yang telah dipaparkan Allah SWT di depan kami. Begitulah ter 'kaget'nya kami. Benarlah kata teman, janganlah bercerita tentang keindahan selagi belum menjejak kaki ke Tasik Toba.

Namun di sebalik tag 'Syurga Dunia' yang diberikan, Tasik Toba sebenarnya menyimpan sejarah ngeri malapetaka teragung dunia. Tasik ini sebenarnya tercipta hasil dari letusan gunung berapi yang dikenali sebagai Tora Event sekitar 70,000 tahun lalu. Terlalu besar letusan yang berlaku, ia menjadi letusan gunung berapi terbesar sejak 2 juta tahun terakhir. Para geologis menamakan letusan ini sebagai "perfect horror” kerana kekuatan dan ganasnya kemusnahan yang dialami dunia. Debu yang dizahirkan telah mengakibatkan seluruh dunia bergelapan dan timbunan debu setebal 9 meter telah turut melimpahi Malaysia. Bencana besar ini juga telah menyebabkan kepupusan kehidupan dunia dan seluruh dunia bergelap beberapa tahun kerana debu asid yang menutupi seluruh ruang bumi.

Terlalu hampir dengan kita, dipisahkan dari Semenanjung Malaysia oleh Selat Melaka yang sempit. Kerana masih ada gegaran aktif yang di rekodkan sekitar Pulau Sumatera, maka ada kah keupayaan Toba untuk mengamuk lagi? Tidak mampu terbayangkan, apakah itu dinamakan kiamat? Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment